mcmc
Pendidikan

KEMAS

Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Konsep Tabika KEMAS ialah ‘Belajar Melalui Bermain’ yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).
Konsep ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah kelak. Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak ditingkatkan dengan pemupukan dan pengukuhan kepada amalan nilai-nilai murni melalui usaha-usaha dan program yang terancang dan berstruktur. Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria dan selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa. Guru menggalakkan perkembangan Sosial, Emosi, Fizikal, Intelek dan Rohani (SEFIR) kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan dan interaksi, menyedia dan mengembangkan kemahiran asas 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul) sebagai persediaan ke alam persekolahan,meluaskan pengalaman, peluang belajar dan mengembangkan potensi individu kanak-kanak melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang, sesuai dengan peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat kanak-kanak, membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotic, memupuk dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, kreatif dan mengembangkan sifat ingin tahu, dan menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui makanan tambahan yang seimbang, aktiviti fizikal dan rutin harian. Kegiatan kokurikulum adalah sekitar 2 jam seminggu, iaitu satu jam setiap sesi selepas waktu kelas.